Ahli Parlimen DAP disiasat, MB Pahang yakin tak wakili parti

Ahli Parlimen DAP disiasat, MB Pahang yakin tak wakili parti

Wan Rosdy Wan Ismail sifatkan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui bersendirian dan tidak cerminkan pendirian DAP.

wan rosdy
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui yang disiasat kerana halang penjawat awam dalam operasi kebun durian Musang King adalah perbuatan individu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yakin tindakan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui disiasat kerana halang penjawat awam tidak mencerminkan pendirian DAP.

Katanya, Chow yang disiasat polis dalam operasi kebun durian Musang King di Raub adalah perbuatan individu.

“Itu (menghalang penjawat awam) tidak mencerminkan keseluruhan dan dia mengambil tindakan secara individu.

“Kita telah serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Negara kita ada peraturan dan undang-undang yang wajib dipatuhi,” katanya menurut Kosmo ketika berada di Kampung Simpang Tiga, Tapah.

Semalam, Chow dan seorang aktivis telah dibebaskan dengan jaminan polis, sehari selepas mereka ditangkap atas dakwaan halang tugas penjawat awam semasa operasi.

Wan Rosdy berkata demikian mengulas desakan PAS supaya Umno menyatakan pendirian terhadap tindakan wakil rakyat DAP itu dalam isu pencerobohan tanah kerajaan bagi penanaman durian Musang King.

Terdahulu, beliau meluangkan masa makan tengah hari bersama jentera dan pengundi yang turut dihadiri calon Barisan Nasional BN PRK Ayer Kuning, Mohamad Yusri Bakir.

Dalam pada itu Wan Rosdy yang juga naib presiden Umno, berkata beliau sudah menjangka isu kebun durian Musang King di Raub akan dijadikan modal kempen parti lawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.