
Floodcom yang dibangunkan hasil kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Pahang di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, bertujuan menyelaras operasi serta logistik, khususnya semasa bencana banjir.
Dalam majlis sama, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa modal dan peralatan bot pelancong bagi Program Pembangunan Ekonomi Asnaf serta bantuan Bina Baru Rumah oleh Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) kepada beberapa penduduk di mukim Hulu Tembeling.
Turut mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda menzahirkan harapan agar semua inisiatif itu dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dan berhasrat memperluaskan program terbabit ke kawasan lain.
“Penerima bantuan peralatan tadi, saya harap dapat membuktikan kejayaan projek ini. Jangan bekerja sambil lewa, beri tumpuan sepenuhnya.
“Jika berjaya, kita akan tambah lagi bantuan dalam skala lebih besar,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Bantuan Program Pembangunan Ekonomi Asnaf dan Bina Baru Rumah Muip serta Perasmian Floodcom di Kampung Bantal, di sini.
Baginda turut menitahkan Muip menubuhkan badan khas bagi memperkasa sektor ekonomi, khususnya pelancongan di kawasan Hulu Tembeling dan Pulau Tioman.
Baginda menyatakan hasrat menjalankan kajian terperinci bagi membangunkan sektor pertanian mikro menggunakan teknologi moden di kawasan pedalaman.
“Saya juga akan membuat kajian terperinci untuk melaksanakan projek pertanian berskala kecil tanpa perlu meneroka kawasan tanah baharu. Kita akan manfaatkan teknologi canggih supaya hasil pertanian dapat digunakan untuk keperluan domestik atau dijual ke luar.”