
Bercakap kepada FMT, Presidennya Ho Hon Sang, berkata beliau yakin keputusan menyenarai hitam pemaju terbabit itu menyusuli siasatan terperinci secara menyeluruh.
“Kami faham dan arif bahawa pembeli adalah pemegang taruh yang paling terkesan dengan situasi ini dan pihak kerajaan perlu melindungi para pembeli.
“Namun kami ambil maklum yang mungkin ada di antara pemaju tersebut menghadapi masalah di luar kawalan mereka,” katanya.
Ho turut menyeru syarikat yang disenarai hitam untuk menghubungi persatuan agar dapat membantu mengenal pasti masalah sebenar.
“Kami akan cuba mencari jalan untuk membantu mereka.
“Pada masa sama, Rehda juga akan terus menjalankan kewajiban pembinaan dalam menyediakan perumahan mampan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan dan mampu milik dalam jangka masa yang sepatutnya demi kemajuan negara dan rakyat,” katanya.
7 April lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata pihaknya menyenaraikan 109 pemaju hartanah kerana gagal mematuhi peraturan.
Katanya, tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian usaha berterusan pihaknya melindungi kepentingan pembeli rumah.
Nga berkata, antara kesalahan dilakukan pemaju tersebut adalah kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan dan kegagalan mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, pemaju yang disenarai hitam tidak layak memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda tertunggak.