Lawatan presiden China bukan sebab isu tarif, kata Khaled

Lawatan presiden China bukan sebab isu tarif, kata Khaled

Tetapi, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata isu kenaikan tarif antara perkara mungkin dibincangkan dalam lawatan Xi Jinping untuk manfaat bersama.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia mulai hari ini hingga 17 April dirangka sejak beberapa bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bukan disebabkan isu kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau berkata, lawatan itu dirangka sejak beberapa bulan lalu.

“Pada ketika itu (rangka kerja lawatan presiden China), kita tidak menjangka akan ada isu tarif dan sebagainya. Jadi, jangan dibaca yang bukan-bukan (membuat spekulasi) atas lawatan itu.

“Ia sudah disusun, lebih-lebih lagi saya percaya ia dibuat sebagai tanda pengiktirafan dan hormat China kepada Malaysia yang mengambil Kepengerusian Asean,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Tetapi, menurutnya, isu kenaikan tarif antara perkara mungkin dibincangkan dalam lawatan itu untuk manfaat bersama.

Terdahulu, media melaporkan lawatan negara Xi Jinping ke Malaysia akan menjadi kunjungan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini, sekali gus mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala.

Lawatannya mulai hari ini hingga 17 April dianggap tepat pada masanya, selaras peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, blok serantau dianggotai 10 negara, dengan pelbagai siri mesyuarat dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.

Persinggahan pemimpin China di Malaysia, selain Kemboja dan Vietnam, dijangka menyuntik semangat baharu kepada Asean kerana ia menggambarkan betapa pentingnya kumpulan serantau itu.

China kekal rakan dagang terbesar Asean sejak 2009, dengan jumlah perdagangan meningkat lebih dua kali ganda sejak 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.