Kalah pemilihan Shah Alam, Rodziah dakwa ada penemuan ‘pelik’

Kalah pemilihan Shah Alam, Rodziah dakwa ada penemuan ‘pelik’

Rodziah Ismail menghantar surat kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti sebagai bantahan.

rodziah
Rodziah Ismail mendakwa antara penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan apabila undi kepada ketua bahagian tidak dicatatkan.
PETALING JAYA:
Bekas ketua PKR Shah Alam Rodziah Ismail membantah kekalahannya pada pemilihan minggu lalu dengan mempersoalkan undi diterima lebih rendah berbanding pasukannya.

Ahli Parlimen Ampang itu ‘pelik’ bagaimana keputusan disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menunjukkan ‘regunya’ bagi jawatan timbalan, naib dan ahli jawatankuasa menang dengan merekodkan undi tinggi.

“Selaku bekas Adun di Shah Alam, saya memang dikenali dan merujuk pemilihan penggal lepas, jumlah undi yang saya peroleh melebihi pasukan saya.

“Maka, saya ambil masa semalam untuk membuat ‘post mortem’ dengan semua calon-calon untuk melihat kemungkinan kenapa keputusan pelik berlaku. Saya telah pun menghantar surat bantahan kepada JPP,” katanya di Facebook.

Rodziah turut mendakwa antara penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan apabila undi kepada ketua bahagian tidak dicatatkan.

Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan sistem tidak membenarkan pengundi ke skrin timbalan ketua bahagian, selagi tidak mengundi untuk ketua bahagian.

“Ada juga ketika proses pengundian berlaku, pengundi-pengundi terpaksa keluar dari sistem dan kena muat turun sekali lagi aplikasi Adil untuk kembali mengundi.

“Ia tak sepatutnya berlaku dan tiada kaitan dengan isu capaian internet. Maka apa jadi dengan undi-undi tersebut?” soalnya.

Susulan itu, beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menggesa pemilihan di negeri lain ditangguhkan sehingga ‘kepelikan’ itu ditangani.

Pemilihan PKR Bahagian Shah Alam minggu lalu menyaksikan Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, menang selepas menewaskan dua pencabar- Rodziah dan Noryzal Zainal Abidin.

Dalam pertandingan tiga penjuru, Najwan yang juga Adun Kota Anggerik meraih 1,213 undi manakala Rodziah (899) dan Noryzal (513).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.