
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) nafi pautan tular di media sosial mendakwa bantuan tunai RM300 dikreditkan dalam MyKad.
Dalam catatan di media sosial, agensi itu menegaskan maklumat itu palsu dan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk bantuan wang tunai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan hantaran tular di media sosial dan tidak menekan sebarang pautan yang meragukan,” menurut catatan berkenaan.
JPN menasihati orang ramai hanya mendapatkan maklumat sahih bantuan kewangan kerajaan melalui portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.