
Penduduk, Afendi Salem, 62, berkata sejak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengubah haluan jalan menjadi sehala bermula Ogos 2024, keadaan itu turut menyulitkan peniaga.
Katanya, langkah itu menjurus kepada pengurangan pelanggan lebih 50%.

“Dulu saya berniaga pisang goreng sehari boleh dapat lebih RM200, malah boleh cecah RM400…tetapi sejak jalan sehala dibuat, pendapatan sehari sekitar RM80-RM100.
“Ini kerana pelanggan susah nak berhenti kerana sesak selepas dibuat laluan sehala,” katanya kepada FMT.
Katanya, situasi jualan bertambah buruk ketika Ramadan lalu, dengan dia hanya beroperasi empat hari seminggu kerana tiada pembeli.
“Kita berniaga pisang goreng, cekodok bukan nak kaya tapi nak buat belanja makan sahaja. Ditambah kos sara hidup semakin mahal, sepanjang Ramadan, saya guna duit simpanan untuk hidup,” katanya.

Nasib sama menimpa, Suhaimi Din, 49, yang turut berkongsi beban hidup apabila pernah mendapat RM6 sehari hasil menjual air tebu pada Ramadan.
“Bulan puasa tahun ini saya menjual air tebu pernah dapat RM6 sehari, dulu sebelum isu jalan ini timbul, sebulan saya boleh jual hampir dua tan air tebu, tahun ini setengah tan tak habis, sebab orang susah nak berhenti,” katanya.
Suhaimi menjelaskan mereka bukan menolak pembangunan, namun menyeru kerajaan membuat kajian menyeluruh terlebih dulu.
“Jadi, kalau boleh pertimbang semula buat laluan dua hala, untuk pastikan pekan Tapah ini tidak menjadi pekan mati,” katanya yang tidak menolak Pekan Tapah sesak susulan pengguna menjadikannya sebagai laluan pintas dari Ipoh ke Cameron Higlands.
Lampu jalan, rumah mampu milik
Sementara itu, pembinaan lampu jalan bagi laluan Tapah ke Teluk Intan juga perlu diselesaikan bakal Adun menjelang PRK Ayer Kuning.
“Sebab kawasan ini gelap, masalah membelenggu penduduk ini siapa menang kita tak kisah janji isu lampu jalan dapat diselesaikan,” kata Zalimi Mat Isa, 49.
Dalam pada itu, penduduk ingin dikenali sebagai Vikram, 29, mengharapkan wakil rakyat baharu dalam PRK Ayer Kuning dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang kerja untuk orang muda di tempat kelahiran sendiri.

Katanya, infrastruktur pasar awam perlu dinaik taraf dan menyelesaikan gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku, termasuk perkhidmatan bas, liputan telekomunikasi, dan khidmat perbankan.
Bagi S Subammah, 68, dia mengharapkan kerajaan memperbanyakkan perumahan kos rendah kepada kaum India.
“Saya harap boleh dibina rumah kos rendah untuk orang India di Tapah dan di Ayer Kuning, sebelum ini saya ada mohon tapi tak dapat sebab kata tiada peruntukan, jadi saya terpaksa menyewa sejak puluhan tahun,” katanya.