
Menerusi artikel minda presiden PAS, Hadi melabel kemenangan calon BN Yusri Bakir sebagai kejayaan Umno menubuhkan UmDAP iaitu gabungan Umno dan DAP.
“UmDAP mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam.
“Oleh sebab itu, Islam mendahulukan kemenangan kuasa politik berbanding umrah dan haji yang wajib mengikuti mazhab ahli al-Sunnah yang dianut PAS,” katanya.
Dakwanya, PAS yang mengemukakan isu bahawa tanggungjawab mengundi adalah fardu ain gagal dalam PRK itu.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, Islam progresif dan liberal serta UmDAP mempersuci DAP walaupun bercanggah dengan nas al-Quran, hadis, ijmak, dan qias yang nyata.
“Bahkan bertentangan dengan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah kerana ternakan babi memudaratkan kesihatan, alam sekitar, dan nyawa — ditolak oleh sebahagian besar pengundi Melayu Islam di Ayer Kuning bersama calon UmDAP.
“UmDAP membawa sebahagian daripada Umno menjadikan matlamat menghalalkan cara mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal.
“Di samping itu, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan menteri besar, exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah,” dakwa Hadi.
PRK Ayer Kuning menyaksikan Yusri menang dengan kelebihan 5,006 undi, menewaskan pencabar Abdul Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN) dan KS Bawani Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Di sebalik kekalahan itu, Hadi berkata PN menunjukkan kejayaan seperti penurunan undi Melayu Islam untuk calon BN disebabkan langkah mempersuci DAP dan rakan-rakannya oleh UmDAP.
“Walaupun Muhaimin seorang tokoh agama bertauliah dan mengajar di banyak masjid, malah muridnya ramai di kalangan Umno, mereka sekadar memahami Islam dalam ibadat fardu ain sahaja, tetapi menolak kewajipan politik dalam Islam.
“Kesimpulannya, PRK Ayer Kuning dan Nenggiri tidak boleh menjadi ukuran kerana perubahan boleh berlaku dalam keadaan berbeza dan berubah-ubah,” katanya.