
Menteri perladangan dan komoditi itu berkata, dalam memajukan agenda kelestarian, penting untuk mengiktiraf konteks dan sumbangan berbeza antara negara pengeluar dengan pengguna.
Katanya, negara pengeluar seperti Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha penting untuk memelihara sumber asli sambil memacu pembangunan ekonomi melalui pengeluaran agrokomoditi.
Menurutnya, Malaysia mengiktiraf pemeliharaan hutan sebagai keperluan global dan telah melaksanakan dasar serta skim pensijilan seperti Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Getah Asli Mampan Malaysia untuk menggalakkan amalan lestari serta meminimumkan penebangan hutan.
Pada masa sama, beliau menegaskan pertumbuhan ekonomi kekal sebagai keutamaan penting bagi negara pengeluar kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kehidupan hampir 800,000 pekebun kecil serta ribuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana terlibat dalam sektor agrokomoditi.
“Oleh itu, pendekatan terhadap kelestarian yang benar-benar berkesan dan adil memerlukan tanggungjawab bersama,” katanya ketika merasmikan Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025.
Beliau berkata, negara pengguna boleh memainkan peranan penting dengan mengiktiraf dan menghargai usaha kelestarian yang telah dilaksanakan oleh negara pengeluar.
“Negara pengguna boleh mewujudkan keadaan pasaran yang memberi insentif dan ganjaran kepada pengeluaran yang lestari.
“Mereka boleh bekerjasama dengan negara pengeluar untuk memastikan peralihan yang adil dan saksama yang menyokong matlamat alam sekitar serta pembangunan ekonomi.”
Seruan Johari supaya negara pengguna memainkan peranan dalam usaha kelestarian hadir ketika Kesatuan Eropah bersedia melaksanakan peraturan penebangan hutan, dikenali sebagai EUDR, pada akhir tahun ini.
EUDR – satu inisiatif kelestarian oleh blok tersebut untuk mengurangkan impaknya terhadap penebangan dan kemerosotan hutan global – pada asalnya dijadualkan dilaksanakan pada 30 Dis 2024, namun ditangguhkan kepada 30 Dis tahun ini bagi pengendali dan pedagang besar.
Syarikat mikro dan kecil pula perlu mematuhi peraturan itu menjelang 30 Jun 2026.
Bulan lepas, Johari mendedahkan kira-kira 70% hingga 80% pekebun kecil kelapa sawit Malaysia bersedia mematuhi EUDR.
Sementara itu, ketika ditemui media selepas merasmikan forum, Johari berkata, Malaysia akan menjemput Thailand, iaitu pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar dunia, untuk menyertai FACT pada masa akan datang bagi memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara pengeluar.
Beliau berkata, penyertaan Thailand penting memandangkan negara itu juga antara pengeluar utama komoditi seperti minyak sawit dan getah, namun tidak tersenarai dalam kalangan negara peserta FACT ketika ini.
Katanya, FACT memberi ruang kepada negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia berkongsi pengalaman masing-masing dalam menguruskan industri komoditi secara mampan, selain mendengar pandangan negara pembeli.