Pemuda Amanah Perak lapor polis dakwaan calon PN tipu tauliah mengajar

Pemuda Amanah Perak lapor polis dakwaan calon PN tipu tauliah mengajar

Timbalan Pemuda Amanah Perak Ahmad Munzirie Kabir mahu siasatan menyeluruh dan tanpa kompromi dijalankan.

Timbalan Pemuda Amanah Perak Ahmad Munzirie Kabir (tiga dari kiri) selepas buat laporan polis terhadap calon PN PRK Ayer Kuning di IPD Tapah, Perak.
TAPAH:
Pemuda Amanah Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan untuk mendapatkan tauliah mengajar membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) PRK Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.

Timbalan Pemuda Amanah Perak Ahmad Munzirie Kabir berkata, laporan itu dibuat supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi demi menjunjung keluhuran undang-undang serta titah Sultan Perak.

Munzirie berkata, Muhaimin dipercayai memperoleh tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Perak walaupun tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding pilihan raya.

“Ini bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada malah mengingkari titah Sultan Perak sebagai ketua agama Islam negeri.

“Ini bukan isu remeh. Ini isu maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri dan kedaulatan Raja Berperlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Tapah.

Munzirie juga mendakwa, perkara itu mungkin melibatkan pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi, suatu kesalahan jenayah serius.

Beliau turut menggesa Muhaimin yang dipercayai mendapat tauliah pada 2024, memberi penjelasan segera tanpa perlu menunggu masa sesuai.

Sementara itu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan menafikan tuduhan tersebut dan mencabar pihak yang menuduh supaya mengemukakan bukti.

“Bagi saya, pihak yang mendakwa perlu kemukakan bukti,” katanya kepada pemberita di majlis Hari Aidilfitri Kota Bharu, lapor Utusan Malaysia.

Amanah Perak sebelum ini membangkitkan dakwaan bahawa Muhaimin menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri itu.

Menurut pengerusinya Asmuni Awi, peraturan semasa melarang individu yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya daripada mendapatkan tauliah.

Muhaimin yang juga pengetua sebuah sekolah agama di Perak dilaporkan enggan mengulas dakwaan itu ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon pada Sabtu.

PRK 26 April ini menyaksikan Muhaimin berdepan calon Barisan Nasional Mohamad Yusri Bakir dan wakil Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.