Pelan Hala Tuju Gas Negara tak ‘mangsakan’ Petronas, kata Rafizi

Pelan Hala Tuju Gas Negara tak ‘mangsakan’ Petronas, kata Rafizi

Menteri ekonomi sangkal dakwaan ‘rancang formula baharu untuk hapuskan monopoli Petronas’ dalam industri gas.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hadiri Majlis Pengumuman Skim Pembiayaan Baharu Yayasan Peneraju Bagi Memperkasa Bakat Bumiputera
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kebergantungan negara jadi beban bagi Petronas kerana menanggung kerugian daripada kenaikan harga import LNG.
PETALING JAYA:
Pelan Hala Tuju Gas Negara yang akan dilancarkan tahun ini tidak ‘memangsakan’ Petronas, sebaliknya bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung syarikat itu untuk negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dalam catatan di X hari ini, Rafizi menyangkal dakwaan beliau ‘merancang formula baharu untuk hapuskan monopoli Petronas’ dalam industri gas, namun katanya, cerita sebenarnya ‘bosan dan tiada drama’.

“Sebenarnya, sekarang ini, mana-mana syarikat pun boleh saja mengimport gas asli cecair (LNG) untuk dijual ke pasaran,” katanya.

“Infrastruktur ‘regassification’ dan paip gas memang dimiliki Petronas, tetapi sebab kita ada kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga, mana-mana syarikat boleh mengimport LNG dan dijual ke pasaran.

“Masalahnya, syarikat lain tidak berminat. Hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh Petronas.”

Rafizi berkata, kebergantungan negara menjadi beban bagi Petronas kerana menanggung kerugian daripada kenaikan harga import LNG.

“Pelan Hala Tuju Gas Negara sebenarnya bertujuan merancakkan rantaian nilai gas domestik, memandangkan kita terpaksa import lebih banyak LNG selepas ini kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung semakin berkurangan,” katanya.

Rafizi berkata, Petronas dan negara akan mendapat manfaat jika lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mula mengimport LNG untuk bekalan tempatan.

“Pertama, Petronas dapat menjana pendapatan tambahan kerana syarikat-syarikat itu perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas Petronas.

“Kedua, risiko Petronas berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan,” katanya.

“Ketiga, bekalan gas lebih terjamin kerana industri gas lebih banyak pemain, (dan) keempat, kita boleh menarik pelaburan baharu ke dalam industri gas hiliran.”

Tambahnya, tidak masuk akal seseorang sepertinya hendak memangsakan Petronas kerana ‘berada dalam keluarga Petronas’ sejak berusia 18 tahun sebagai penerima biasiswa, sehinggalah berusia 32 tahun, bekerja dengan syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.