
Bagaimanapun, beliau yang juga saksi pembelaan ke-12 berkata, dia tidak dapat memastikan siapa pelajar terlibat kerana keadaan bilik asrama yang gelap pada malam itu.
“Di bilik itu, saya juga ada cuba untuk menepis mangsa di bahagian bahu tapi tidak kena,” katanya dalam pernyataan saksi bagi perbicaraan kes di hadapan Hakim Duncan Sikodol.
Pada 28 Feb, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas tuduhan bersama-sama membunuh Nazmie Aizzat atau Ijat, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.
Semua remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu dalam pernyataan saksi, tertuduh ke-10 itu juga berkata, kali terakhir dia melihat Nazmie Aizzat adalah ketika cuba memeriksa nadi mangsa di bilik asrama 7 Belian.
“Lebih kurang 3 pagi, semasa saya sedang tidur, tertuduh kelima mengejutkan saya untuk melihat keadaan mangsa di bilik asrama 7 Belian. Saya melihat mangsa sedang tidur, saya dapati mangsa masih bernafas dan saya periksa nadi mangsa,” katanya.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri, tertuduh ke-10 itu memberitahu mahkamah, dia memeriksa nadi Nazmie Aizzat, kerana ada yang mengatakan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Batrisyia: Siapa yang mengatakan perkara tersebut?
Saksi: Tidak ingat
Batrisyia: Sekiranya betul nadi Ijat masih ada, apa kamu rasa lepas kamu periksa nadi dia?
Saksi: Seperti orang normal yang tidur.
Sementara itu, tertuduh ke-10 tidak bersetuju dengan cadangan Batrisyia bahawa dia memeriksa nadi Ijat kerana risau kerana sebelum itu telah memukul mangsa.
Terdahulu, tertuduh ke-10 juga bersetuju dengan pertanyaan Batrisyia bahawa dia berkawan baik dengan mangsa dan berasa kecewa dengan Nazmie Aizzat berhubung kecurian duit tertuduh ketiga dan keempat.
Selain Batrisyia, kes pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Juhn Tao.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidim, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.