Kalau ‘tersepit’ kena cari jalan keluar, Bung beritahu Razeef

Kalau ‘tersepit’ kena cari jalan keluar, Bung beritahu Razeef

Bung Moktar Radin juga berkata, BN 'tidak buka terlalu luas' pintu kerjasama dengan parti lain pada PRN.

Bung Moktar Radin ulas kebimbangan Razeef Rakimin bahawa PH akan tersepit jika BN tidak jernih hubungan dengan GRS.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin menepis dakwaan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan komponen itu ‘tersepit’ di tengah-tengah pada PRN tahun ini.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin, Bung berkata, hanya pemimpin atau parti tiada hala tuju politik akan berasa tersepit.

“Sebetulnya dalam politik tiada istilah tersepit, sebagai seorang pemimpin kita harus tahu mencari jalan keluar.

“BN tidak tersepit langsung dalam keadaan ini, sebab itu saya telah jelaskan hanya ada kerjasama dengan PH,” katanya kepada FMT.

Bung mengulas gesaan Razeef supaya BN menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengelakkan PH tersepit, menyebabkan gerak kerjanya pada PRN terjejas.

Menyambut baik kerjasama BN-PH, Razeef berpendapat gabungan itu tidak seharusnya membabitkan perselisihan dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan termasuk GRS.

Semalam, Bung mengumumkan parti itu akan bekerjasama dengan PH yang kini menjadi sebahagian kerajaan Sabah diketuai GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, Bung sebelum ini menegaskan BN dan Umno tidak akan bekerjasama dengan GRS.

Pada Disember lepas, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, beliau telah menyatakan hasrat mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN.

Mengulas lanjut, Bung yang juga Adun Lamag berkata, kerjasama dengan parti lain ‘tidak dibuka dengan luas’ kerana BN berhati-hati dalam mencari rakan pada PRN.

“Kita buka juga pintu dan tak tutup rapat-rapat tapi tidaklah terbuka luas, sebab mahu parti terbabit (rakan gabungan) ada kesungguhan dan komitmen,” katanya.

Pada 3 April lepas, FMT melaporkan kenyataan Bung bahawa BN tidak akan bertanding solo pada PRN, mengambil kira keadaan politik semasa menunjukkan tiada parti mampu memenangi pilihan raya secara mutlak untuk menerajui negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.