JPJ keluarkan SOP, garis panduan baharu kenderaan berat bulan depan

JPJ keluarkan SOP, garis panduan baharu kenderaan berat bulan depan

Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata ia susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori sejak kebelakangan ini.

lorry highway
Antara SOP dan garis panduan baharu itu termasuk tindakan terhadap kenderaan perdagangan melebihi had laju dan larangan kenderaan perdagangan menggunakan lorong kanan, kata Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan baharu membabitkan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan dan ke atas, bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli, berkata langkah terbabit diambil susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, JPJ bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan sedang meneliti dan memperincikan SOP dan garis panduan berkaitan.

“Antara perkara yang sedang diperincikan termasuk SOP serta tindakan yang akan diambil terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kita nampak memang kes untuk kenderaan perdagangan ini makin meningkat dan salah satu faktornya adalah (pemandu) kenderaan-kenderaan ini membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan.

“Jadi salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah mengurangkan had laju kenderaan ini. Kita sedang memperincikan dan akan umumkan dalam masa terdekat mungkin dalam Mei nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Terengganu malam tadi, menurut Harian Metro.

Tambahnya lagi, antara SOP dan garis panduan baharu itu termasuklah tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melebihi had laju dan larangan kenderaan perdagangan untuk menggunakan lorong kanan di semua jalan utama dan lebuh raya sebelum ini.

Menurutnya, penambahbaikan itu akan memperincikan SOP dan garis panduan serta tindakan yang akan diambil di peringkat agensi penguat kuasa seperti JPJ dan polis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 8,862 kes kemalangan dicatatkan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (HRA 2025) yang bermula 24 Mac hingga 8 April lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 9,859 kes yang direkod pada Ops HRA 2024.

“Begitu juga jumlah kematian menurun daripada 119 orang pada Ops HRA 2024 kepada 85 orang Ops HRA 2025.

“Penurunan ini antaranya disebabkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya hasil program advokasi oleh JPJ dan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.