BM diutama, papan tanda di Kampung Sg Nipah diganti dwibahasa

BM diutama, papan tanda di Kampung Sg Nipah diganti dwibahasa

Pihak berkuasa Port Dickson akan pasang baharu papan tanda dengan saiz tulisan BM lebih besar daripada bahasa kedua.

Yang Dipertua MPPD Hasnor Abd Hamid berkat,  papan tanda dalam bahasa Cina di Kampung Sungai Nipah dipasang tanpa kelulusan sejak 2018. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menanggalkan sekurang-kurangnya 16 papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Kampung Sungai Nipah, kata Yang Dipertua Hasnor Abd Hamid.

Beliau berkata, papan tanda berkenaan akan digantikan dengan papan tanda dwibahasa dengan bahasa Melayu lebih besar daripada bahasa kedua.

“Papan tanda dalam bahasa Cina di kampung itu dipasang sejak 2018. Saya difahamkan, pemasangannya tiada kelulusan MPPD atau pejabat daerah. Jadi, kita akan tanggalkan dan pasang baharu dengan saiz tulisan bahasa kebangsaan yang lebih besar daripada bahasa kedua.

“MPPD akan memastikan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan diutamakan termasuk pada papan tanda dan papan iklan dengan permohonan perlu dikemukakan kepada MPPD,” katanya ketika meninjau papan tanda kampung itu di Port Dickson, menurut Bernama.

Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kesal apabila terdapat papan tanda jalan dalam bahasa Cina di kampung itu, dan berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas.

Dalam pada itu, Adun Chuah Yew Boon Lye berkata, pemasangan papan tanda sejak tujuh tahun lalu itu berkemungkinan disebabkan ramai pengunjung dari China yang datang ke daerah berkenaan, termasuk mengunjungi muzium peringatan virus Nipah.

Dalam perkembangan lain, Hasnor berkata, MPPD melaksanakan penguatkuasaan berkala berhubung larangan penjualan di persimpangan lampu isyarat sebagai langkah menjaga keindahan daerah itu sebagai bandar pelancongan.

“Kita perlu tonjol imej baik kerana Port Dickson juga akan menjadi antara lokasi mesyuarat kepengerusian Asean. Jadi, kita perlu menunjukkan imej yang baik di mata pihak antarabangsa dan kita ada peraturan perlu dipatuhi.

“Kita tidak akan menyekat rezeki mereka selagi mereka mematuhi peraturan dan undang-undang, sekali gus memastikan aspek keselamatan terjamin. Kita tidak mahu tiada kawalan terhadap jualan termasuk jual mangga dan sebagainya, itu yang kita saran hentikan jualan di tepi jalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.