
Menteri Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, berkata Annuar yang juga timbalan pengarah pilihan raya PAS tidak perlu terlalu ghairah mempertahan karikatur menyindir perdana menteri dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
“Kalau nak kempen cara itu (karikatur sindir kerajaan), masa dia jadi kerajaan apa dia buat jadi kalau tengok isu Kampung Sungai Baru kononnya 23 Ahli Parlimen PN turun nak perjuangkan hak.
“Rupanya, tiga menteri (PN) terbabit, dalam isu pengambilalihan secara paksa.
“Saya rasa Annuar kena jawab banyak benda, tak payah kempen PRK turun ke Kampung Sungai Baru, saya nak tengok dia berani tak berdepan penduduk Kampung Sungai Baru…saya rasa dia tak berani, dia akan lari,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti (HBK) di Nadi Ayer Kuning.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau percaya pihak terlibat dalam pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, ketika PN memerintah perlu memberi penjelasan kepada penduduk terjejas.
Tuan Ibrahim adalah antara 23 wakil pembangkang yang hadir sesi taklimat bersama penduduk di sana, yang terjejas akibat rampasan tanah.
Semasa perjumpaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Protem Kampung Sungai Baru Zainab Alias mendakwa beberapa bekas menteri dan Ahli Parlimen memihak pemaju termasuk Annuar, Shahidan Kassim, dan Ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun.
Annuar dan Shahidan pernah menjadi menteri wilayah persekutuan ketika era pemerintahan PN.