Mangsa banjir di Selangor, Johor turun, Sabah kekal

Mangsa banjir di Selangor, Johor turun, Sabah kekal

Jumlah mangsa banjir di Selangor berkurangan kepada 218 orang, Johor (177) dan Sabah (683).

Pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam memindahkan mangsa banjir di Sabah ke PPS berdekatan. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Keadaan banjir di Selangor dan Johor menunjukkan perkembangan positif pagi ini, apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, manakala situasi di Sabah tidak berubah.

Di Selangor, jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 218 orang daripada 63 keluarga berbanding 353 orang daripada 100 keluarga petang semalam.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, hanya empat PPS masih beroperasi, iaitu Dewan Kenanga, Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 di Shah Alam serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia) di Subang Jaya.

Di Johor, mangsa banjir berkurangan kepada 177 orang daripada 58 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 199 orang daripada 63 keluarga petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani, berkata sebuah PPS dibuka di SMK Seri Gading, Batu Pahat bagi menempatkan mangsa.

Menurutnya, mangsa dari Kampung Baharu Sri Gading, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Kampung Parit Sri Muar, Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.

Di Sabah, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 683 orang daripada 186 keluarga dari daerah Nabawan dan Sook setakat 8 pagi tadi.

Katanya, semua 471 orang daripada 116 keluarga di Nabawan dipindahkan ke enam PPS, manakala 212 orang daripada 70 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sook.

Enam PPS dibuka di Nabawan sejak Jumaat lalu, iaitu Dewan Kampung Bahagia, Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan dan Balai Budaya Kabangawong, Balai Budaya Kamoung Sarikan, Balai Budaya Kampung Saupi serta SK Kampung Pandiwan, manakala di Sook ialah Dewan Kampung Membulu dan Dewan SK Pekan Keningau II.

“Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas banjir berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman Sabah, masing-masing terletak 174km dan 147km arah selatan dari Kota Kinabalu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.