Halang penjawat awam, polis akan panggil Ahli Parlimen Raub

Halang penjawat awam, polis akan panggil Ahli Parlimen Raub

Polis Raub berkata Chow Yu Hui antara lima individu akan dipanggil bantu siasatan kes halang penjawat awam ketika operasi di kebun durian Musang King.

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui akan dipanggil dalam masa terdekat bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui antara lima individu yang akan dipanggil membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub, baru-baru ini.

Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abd Rahman, berkata Chow yang juga penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini tiga laporan polis telah diterima melibatkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya kepada Bernama, di Kuantan.

Semalam, polis memaklumkan menerima tiga laporan oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), polis, dan NGO.

Sementara itu, Shahril memaklumkan operasi penguatkuasaan di kebun durian akan diteruskan seperti biasa oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Kerajaan Pahang juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.