PM isytihar perangi ‘penyakau’ peruntukan kerajaan

PM isytihar perangi ‘penyakau’ peruntukan kerajaan

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan takkan tolak ansur dalam perkara itu, sama ada libat pegawai kerajaan mahupun ahli politik.

Anwar Ibrahim
Jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk kumpul kekayaan peribadi, kata PM Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengisytiharkan ‘perang’ terhadap pihak yang menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk mengayakan diri.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu, sama ada melibatkan pegawai kerajaan mahupun ahli politik, dan komited memerangi kegiatan seperti manipulasi tender serta penyelewengan dana pembangunan.

“Saya isytihar perang dalam perkara ini. Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan kerajaan untuk salah guna tender dan ‘sakau’ untuk kekayaan diri mereka,” katanya menambah, kekayaan negara akan hilang begitu sahaja kerana ‘masing-masing sibuk nak kayakan diri sendiri’.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kelantan di Pantai Irama, Bachok, Anwar berkata, jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mengumpul kekayaan peribadi.

“Nak berniaga, berniaga betul-betul, tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tak izinkan. Ini bukan jawatan untuk jadi kaya, bukan perdana menteri mesti kaya,” katanya, lapor Bernama.

Mengulas dakwaan pilih kasih dalam pendakwaan, Anwar berkata, proses keadilan dijalankan mengikut sistem perundangan negara.

“Walaupun ada yang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya. Yang menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa peguam negara, dan yang putuskan (hukuman) mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.