
Memasuki hari kedua situasi banjir di Selangor menyaksikan jumlah mangsa meningkat daripada 873 orang membabitkan 262 keluarga malam tadi kepada 1,191 mangsa (322 keluarga) setakat 8 pagi tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, semua mangsa ditempatkan di enam PPS dengan tiga di Shah Alam, Klang (dua) dan satu di Subang Jaya.
Di Sabah, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Nabawan meningkat kepada 383 orang daripada 94 keluarga berbanding 263 orang daripada 63 keluarga, dengan semuanya ditempatkan di lima PPS selepas 28 kampung terjejas.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan lima PPS dibuka di Nabawan.
Daerah Sook turut dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di Dewan Kampung Membulu pada 4.45 pagi tadi, namun jumlah mangsa sedang dikemas kini.
Nabawan dan Sook terletak di pedalaman Sabah, masing-masing 174km dan 147km arah selatan Kota Kinabalu.
Di Johor, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading menurun sedikit pagi ini, iaitu 203 orang daripada 64 keluarga berbanding 210 orang daripada 65 keluarga petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Azmi Rohani, berkata mangsa terjejas ialah penduduk dari daerah Batu Pahat.
“Sebatang sungai di paras amaran, iaitu Sungai Senggarang di Batu Pahat dengan bacaan 3.16m, manakala Sungai Batu Pahat di paras waspada dengan bacaan 2.30m.”