SKMM siasat individu sebar berita palsu bekal diesel ke Filipina

SKMM siasat individu sebar berita palsu bekal diesel ke Filipina

Keterangan individu berkenaan dirakam manakala peranti digunakan untuk muat naik kandungan itu turut disita SKMM bagi bantu siasatan.

Pegawai SKMM mengambil keterangan individu yang disyaki menyebar berita palsu berkait dakwaan bekalan diesel dari Malaysia ke Filipina.  (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel ke Filipina.

SKMM dalam kenyataan berkata peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan itu turut disita bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntuk denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan dan Petronas menafikan kontroversi dicetuskan beberapa pihak termasuk pembangkang yang menuduh kerajaan membekalkan minyak diesel kepada Filipina.

Petronas juga nafi menghantar bekalan diesel ke Filipina kerana syarikat berkenaan tidak pernah memasuki sebarang perjanjian berhubung perkara itu dengan mana-mana pihak ke negara itu.

Kerajan menjelaskan penghantaran minyak diesel ke Filipina itu melibatkan urus niaga syarikat asing, Vitol yang beroperasi di Pengerang, Johor.

Sementara itu, SKMM berkata setakat semalam, sebanyak 47 kertas siasatan dibuka melibatkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di media sosial dan platform digital susulan konflik di Asia Barat.

Katanya, semua kes itu masih dalam siasatan lanjut.

Antara kandungan palsu dikesan termasuk dakwaan harga bahan api naik jauh melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik meningkat dan kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran.

Selain itu, subsidi BUDI95 diberi kepada warga Singapura dan dakwaan penghantaran 329,000 tong diesel milik Malaysia ke Filipina.

“SKMM memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.