Akan ada tangkapan lagi berkait skim Ponzi, kata polis

Akan ada tangkapan lagi berkait skim Ponzi, kata polis

Polis berkata kebanyakan mangsa mula tampil membuat laporan selepas merasakan pelaburan tidak membuahkan hasil dan ada elemen penipuan tersusun di sebaliknya.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman Muhammed Hasbullah Ali berkata skim itu beroperasi sejak bertahun-tahun lalu dan antara sindiket pelaburan palsu paling aktif merentasi sempadan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis berkata, beberapa siri tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat berkaitan skim Ponzi dikenali Pelaburan MBI.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Muhammed Hasbullah Ali, berkata siasatan mendapati skim itu beroperasi sejak bertahun-tahun lalu dan antara sindiket pelaburan palsu paling aktif merentasi sempadan.

Menurutnya, kebanyakan mangsa mula tampil membuat laporan polis selepas merasakan pelaburan mereka tidak membuahkan hasil, selain menyedari ada elemen penipuan tersusun di sebaliknya.

“Rentetan tangkapan sebelum ini, kita menemui bukti baharu hasil risikan dan maklumat terkini yang diperoleh daripada kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa luar negara.

“Melalui serbuan, kami menemui lebih banyak bahan bukti yang mengukuhkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi siri tangkapan dalam waktu terdekat,” katanya menurut Sinar Harian.

Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 44 hingga 62 tahun, termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk ditahan menerusi Op Northern Star hasil maklumat notis merah Interpol pada 20 Mac lalu.

Katanya, polis membekukan aset lebih RM3.17 bilion dipercayai ada kaitan skim itu yang berpusat di negara jiran, antaranya 638 akaun bank dan saham lebih RM1.16 bilion, 35 hartanah dianggarkan lebih RM2 bilion dan 10 kenderaan mewah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.