
Timbalan Ketua Polis Sepang Shan Gopal Krishnan berkata suspek pertama berusia 35 tahun ditahan pada 10.30 malam tadi oleh anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Putra Perdana, lapor Bernama.
Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua kunci penutup lubang kumbahan, sebatang penyangkuk besi, satu telefon bimbit serta sepeket plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki syabu.
“Semasa ditahan, lelaki terbabit yang positif dadah turut bertindak agresif terhadap anggota polis dan cuba melarikan diri.
“Kerugian dianggar bernilai RM3,600 dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Shan Gopal berkata lelaki kedua berusia 40 tahun ditahan pada jam 4 pagi tadi oleh sepasukan polis yang membuat rondaan di sekitar Sepang.
Katanya, hasil tangkapan itu polis merampas dua gelung kabel TM sepanjang 30m yang dianggarkan bernilai RM1,800.
“Suspek memiliki rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Pihak polis dalam tindakan mengesan rakan jenayah yang masih bebas,” katanya sambil menambah kes turut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.