
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa dipercayai meninggal dunia kerana terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki banjir.
Menurutnya, mayat mangsa yang berusia 24 tahun ditemui di sebuah rumah satu tingkat di lorong Lembah Dua dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.
“Pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati yang boleh menyebabkan kematian.
“Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki air banjir,” katanya.
Iqbal berkata mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.
“Orang ramai diingatkan berwaspada dengan penggunaan barang-barang elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan,” katanya.
Terdahulu pada 10.51 pagi, mayat seorang lelaki warga Sri Lanka ditemui mati dalam sebuah premis di Taman Alam Indah, Seksyen 25 juga dipercayai akibat terkena renjatan elektrik selepas kawasan itu dilanda banjir.
Turut ditemui seekor anjing yang mati di sisi mangsa, dipercayai turut terkena renjatan elektrik.