
Profesor di Universiti UCSI, Tajuddin Rasdi, berkata tindakan tegas itu perlu kerana pihak terbabit cuai terhadap keselamatan pelajar bawah jagaan mereka.
“Tiada alasan sama sekali untuk mengabaikan keselamatan anak kita di sekolah berasrama penuh,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kes tragik membabitkan pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain dan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan masih segar dalam ingatan rakyat, khasnya ibu bapa.
“Saya menasihatkan semua ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah dan institusi berasrama penuh kerajaan kerana bimbang dibuli teruk.”
Tajuddin menggesa dasar pengambilan pelajar di semua institusi pendidikan Mara dikaji semula supaya tiada pelajar “samseng”, selain amalan mengambil pelajar “secara pilih kasih atau melalui hubungan sosial” dihentikan.
Beliau turut memuji Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki mengambil pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi dalam isu buli di institusi pendidikan Mara.
Semalam, Asyraf dilaporkan berkata, semakin banyak laporan berkait kes buli di MRSM diterima dan beliau mahu orang ramai melaporkan terus kes sedemikian kepada pihaknya atau melalui media sosial.
Beliau berkata demikian selepas tular satu video di media sosial memaparkan beberapa pelajar menggunakan tali pinggang untuk mengikat kaki seorang pelajar yang dilihat tidak melawan.
Semalam, polis dilaporkan berkata, tujuh pelajar tingkatan tiga, termasuk mangsa dan perakam sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes buli di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada pertengahan tahun lalu.
Susulan itu, Asyraf mengumumkan Jawatankuasa Disiplin Maktab mengesyorkan tujuh pelajar itu ditamatkan pengajian.