
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata kejadian berlaku pada 20 Jan lalu apabila wanita berusia itu 62 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Fatihah’ dari Balai Polis Bintulu, Sarawak.
Katanya, individu terbabit mendakwa nombor telefonnya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu mengaku sebagai ‘Inspektor Hafiz’ dari Bukit Aman.
“Suspek dikatakan menyoal siasat mangsa dan mengarahkan wanita itu menyerahkan maklumat dan aset miliknya kepada ‘Bank Negara’, kononnya untuk siasatan bagi membersihkan nama daripada kes jenayah.
“Pada 24 Januari lalu, mangsa menerima panggilan daripada nombor didakwa milik ‘Inspektor Hafiz’ dan diarah meletakkan kad ATM miliknya di luar pagar rumah untuk diambil ‘pegawai Bank Negara’,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa turut diarah mengeluarkan semua wang daripada akaun banknya dan dipindah kepada dua akaun bank baharu atas nama mangsa yang dibuka mengikut arahan suspek.
“Selepas beberapa hari, anak mangsa membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun berkenaan sudah dipindah dan dikeluarkan oleh individu tidak dikenali.
“Mangsa yang menyedari ditipu tampil membuat laporan di IPD Kulai kelmarin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.