Sabah perlu pendekatan politik inklusif, perkongsian kuasa, kata Salleh

Sabah perlu pendekatan politik inklusif, perkongsian kuasa, kata Salleh

Salleh Said Keruak berkata pendekatan itu selaras semangat asal pembinaan kerangka politik Sabah.

salleh said
Salleh Said Keruak berkata dengan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya, Sabah memerlukan pendekatan politik adil dan inklusif di mana setiap masyarakat dihormati dan dilibatkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak menggesa pendekatan politik lebih inklusif dan menyokong struktur perkongsian kuasa menjelang PRN akan datang.

Beliau yang juga bendahari Umno Sabah berkata, dengan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya, ia memerlukan pendekatan politik adil dan inklusif di mana setiap masyarakat dihormati dan dilibatkan.

“Di samping memastikan penyertaan masyarakat, parti-parti politik utama juga mesti menjadi sebahagian daripada struktur pembahagian kuasa, terutama yang mempunyai sokongan luas merentasi pelbagai wilayah. Namun, pelantikan kepimpinan mestilah sentiasa berasaskan kelayakan dan kemampuan (merit),”katanya di Facebook.

Salleh berkata, pendekatan itu selaras semangat asal pembinaan kerangka politik Sabah iaitu melalui persefahaman bersama, kerjasama dan pembahagian kuasa yang adil dalam kalangan masyarakat.

“Ini mencerminkan inti pati kepada tolak ansur politik iaitu semangat kerjasama antara komuniti dan parti-parti bagi memastikan kestabilan, keadilan, dan perpaduan dalam pentadbiran kerajaan.

“Ia juga mencerminkan nilai-nilai Perlembagaan seperti keseimbangan, keterangkuman dan autonomi wilayah,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meritokrasi sambil menambah kepimpinan Sabah mestilah mencerminkan masyarakat majmuk dan memastikan individu yang dilantik benar-benar berkelayakan, berkemampuan serta berintegriti.

“Tiga kumpulan utama iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera sepatutnya mempunyai wakil yang bermakna dalam kerajaan dengan tanggungjawab sebenar dan bukan sekadar jawatan simbolik,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Bung Moktar Radin berkata gabungan itu tidak akan bertanding solo pada PRN dan akan mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain bila tiba masa.

Menurut Bung, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan politik semasa iaitu parti bertanding solo tidak mampu memenangi pilihan raya untuk menerajui negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.