
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar menekankan perlunya golongan profesional muda mahir dalam geopolitik dan memahami bagaimana perkembangan global mempengaruhi dasar awam di Malaysia dan rantau sekitarnya.
“Sudah berlalu zaman kita hanya pakar dalam satu bidang. Kita perlu jadi semua tahu, kuasai semua bidang,” katanya dalam forum di Heriot-Watt University hari ini.

“Kita mesti faham ke mana arah tuju dunia kerana perniagaan dan kerjaya kita akan dipengaruhi geopolitik dan hubungan perdagangan yang berkembang.
“Dalam dunia yang tidak menentu seperti ini, kita tidak boleh hanya sesuaikan diri, kita perlu mendepani perubahan,” katanya memetik ketidaktentuan berterusan sekitar pengumuman tarif Amerika Syarikat.
Azeem berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan inisiatif untuk menjadikan generasi pemimpin akan datang kalis cabaran masa depan, para pelajar mesti mengambil inisiatif untuk melengkapkan diri dengan pemahaman umum tentang hal ehwal negara.

Menegaskan bahawa dunia sedang berdepan dasar yang sentiasa berubah, beliau menggalakkan pemimpin muda mengenal pasti jurusan yang mampu mengharungi cabaran ekonomi digital yang semakin dinamik.
“Cari kemahiran berguna yang anda rasa boleh kuasai, jadi pakar, kemudian selaminya,” katanya.
Pengasas Research Institute for Sustainable Excellence and Leadership (Risel) Hong Wai Onn berkata, usaha memacu inovasi pada zaman ini bukan sahaja memerlukan kepakaran teknikal malah kemahiran kreatif menyelesaikan masalah.
Beliau menggambarkan pemimpin masa akan datang yang ideal sebagai seseorang yang inklusif, kolaboratif, kukuh dalam etika, dan cukup berani untuk mencabar status quo.
“Kita tidak boleh tetap sahaja di mana kita berada, dan juga tidak boleh tegar. Apa yang baik pada masa ini tidak semestinya sesuai pada masa akan datang,” katanya.