Warisan serah 3 surat tuntutan dakwaan Shafie bantu lulus dokumen PATI

Warisan serah 3 surat tuntutan dakwaan Shafie bantu lulus dokumen PATI

Ahli Majlis Tertinggi Chen Ket Chuin berkata individu terbabit diberi tempoh tujuh hari untuk tarik balik kenyataan dan mohon maaf.

Shafie Apdal
Chen Ket Chuin berkata bantuan diberikan Mohd Shafie Apdal sebelum ini bertujuan membantu rakyat tempatan yang dinafikan hak kerana ketiadaan dokumen lengkap – bukan membantu PATI. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga surat tuntutan telah dikeluarkan terhadap individu yang memfitnah Presidennya Mohd Shafie Apdal telah meluluskan atau mengeluarkan sebarang dokumen pengenalan atau kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ahli Majlis Tertinggi Chen Ket Chuin berkata surat itu diserahkan kelmarin dan semalam kepada individu terbabit yang diberi tempoh tujuh hari untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan undang-undang.

Menurut peguam Shafie itu, dakwaan mengaitkan Ahli Parlimen Semporna terbabit dengan pemberian dokumen kepada PATI semasa menjadi ketua menteri Sabah pada 2018 hingga 2020 sebagai berniat jahat dan bersifat fitnah.

“Warisan tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen pengenalan atau kewarganegaraan kepada mana-mana PATI, kami tiada sebarang kecenderungan untuk membantunya.

“Surat disertakan dengan minit mesyuarat atau arahan daripada Shafie jelas tidak merujuk kepada pemohon PATI,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, tular di media sosial surat rasmi bertarikh 26 April 2019 yang mendakwa Shafie menyokong permohonan taraf kewarganegaraan pemohon dari Lahad Datu.

Satu lagi surat sokongan bertarikh 9 Okt 2019 meminta permohonan sambungan kad pemastautin sementara (MyKAS) oleh pemohon dari Semporna diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Chen menegaskan tiada ketua menteri atau mana-mana pemimpin negeri mempunyai kuasa meluluskan atau mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan yang terletak di bawah JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“JPN sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa tiada sebarang campur tangan boleh dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ketua menteri dalam urusan pendaftaran kewarganegaraan,” jelas beliau.

Beliau turut menggesa semua pihak berhenti mempolitikkan isu rakyat Sabah yang tidak berdokumen dan menekankan bantuan diberikan Shafie sebelum ini bertujuan membantu rakyat tempatan yang dinafikan hak kerana ketiadaan dokumen lengkap – bukan untuk membantu PATI.

Chen mendakwa isu itu sengaja dimainkan semula menjelang PRN untuk mencemarkan imej Warisan dan presidennya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.