Perluas bantuan SARA kepada barangan basah, keperluan bayi

Perluas bantuan SARA kepada barangan basah, keperluan bayi

Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor cadang barangan itu untuk bantu tumbesaran kanak-kanak, galak pemakanan sihat.

Kerajaan digesa untuk memperluaskan bantuan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada barangan basah seperti ayam dan sayur.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan ibu tunggal mencadangkan kerajaan menambah barangan basah dan keperluan bayi di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor Sheilla Tukimin mencadangkan penerima inisiatif dibenarkan menebus lampin pakai buang selain ikan, ayam dan sayur bagi memenuhi keperluan harian.

Menurut Sheilla, cadangan itu dikemukakan untuk membantu tumbesaran kanak-kanak dalam aspek penjagaan kebersihan selain menggalakkan pemakanan sihat.

Sheilla Tukimin
Sheilla Tukimin.

“Lebih sesuai sekiranya kerajaan perluaskan lagi jenis barang boleh ditebus kerana setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza, contohnya ada perlukan lampin pakai buang untuk keperluan anak.

“Kalau boleh barang basah pun dibenarkan kerana keluarga B40 dan M40 banyak memasak sendiri, mohon kerajaan pertimbangkan,” katanya kepada FMT.

Ketika ini di bawah SARA, penerimanya boleh membeli makanan asas seperti beras, roti, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, susu selain sabun cecair mandian, tuala wanita, ubat diluluskan Kementerian Kesihatan, alat tulis dan pakaian seragam sekolah.

Penerima tambah 8 kali ganda

Mulai 1 April lalu, SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 orang sedia ada.

Kementerian Kewangan turut mengumumkan peningkatan jumlah bantuan kepada RM2,100 setahun berbanding RM1,200 sebelum ini bagi isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-kasih.

Bagi memudahkan orang ramai menebus barangan menggunakan MyKad, kerajaan turut menambah jumlah peruncit bagi program Sara kepada 3,500 berbanding 700 sebelum ini.

Selain SARA, kerajaan juga menyalurkan STR yang kedua-duanya membabitkan peruntukan RM13 bilion menerusi Belanjawan 2025 untuk membantu meringankan beban golongan dari pelbagai kategori.

Sementara itu, suri rumah Siti Zubaidah Diran, 50, dari Kluang, Johor turut mencadangkan penebusan barangan basah dibenarkan di bawah SARA.

“Barang yang boleh ditebus sekarang memang banyak membantu tetapi lebih baik turut dibenarkan ambil barangan basah.

“Boleh galakkan orang memasak sendiri di rumah, lebih sihat dan menjimatkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.