Lelaki ugut penguatkuasa DBKL bebas dengan jaminan polis

Lelaki ugut penguatkuasa DBKL bebas dengan jaminan polis

Timbalan Ketua Polis Cheras Ridzuan Khalid berkata suspek dibebaskan selepas permohonan sambung reman ditolak.

DBKL BUILDING
Suspek berusia 57 tahun itu ditahan awal pagi semalam kerana disyaki membuat ancaman dan hasutan terhadap penguat kuasa DBKL menerusi WhatsApp.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang ditahan kerana membuat ugutan terhadap penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi WhatsApp dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Cheras Ridzuan Khalid berkata lelaki berusia 57 tahun itu dibebaskan selepas permohonan untuk melanjutkan perintah reman ditolak.

“Sambung reman ditolak dan suspek diberi jaminan polis hari ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada FMT.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata lelaki itu ditahan pada jam 12.10 pagi kerana disyaki membuat ancaman dan hasutan terhadap penguat kuasa DBKL menerusi WhatsApp.

Katanya, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai penguatkuasa DBKL mengenai satu hantaran di Facebook.

“Hantaran di Facebook itu memaparkan sebuah tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.

“Pengadu menyatakan tangkap layar whatsapp tersebut merupakan ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Rusdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) kanun sama kerana membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Tambahnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.