Kerajaan terbuka cadangan baharui proses lantik ketua SPRM, kata Fahmi

Kerajaan terbuka cadangan baharui proses lantik ketua SPRM, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan perpaduan berkata, kesediaan dengar pelbagai pandangan itu selaras dengan usaha menjayakan agenda reformasi institusi penting.

Azam bin Baki
Memetik sumber, Bloomberg melaporkan Jumaat lepas bahawa Azam Baki akan diberi lanjutan memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM selama 6 bulan lagi.
PUTRAJAYA:
Kerajaan terbuka menerima cadangan pembaharuan proses pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk soal had kuasa perdana menteri, kata Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, kesediaan mendengar pelbagai pandangan dan cadangan itu selaras dengan usaha menjayakan agenda reformasi institusi penting.

“Kerajaan terbuka menerima pandangan pelbagai pihak untuk penambahbaikan, sama ada dari segi perundangan atau proses demi usaha melaksanakan reformasi institusi penting kepada negara kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Apabila diminta mengulas sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, Fahmi bagaimanapun berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Terdahulu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, tamatnya tempoh perkhidmatan Azam memberikan peluang kepada kerajaan untuk mendemokrasikan proses pelantikan jawatan itu.

C4 berkata, proses pelantikan itu sudah lama dikritik memandangkan ia terletak pada budi bicara perdana menteri, yang jelas menimbulkan risiko dipengaruhi pertimbangan politik.

Katanya, walaupun proses meminda undang-undang berhubung perkara itu akan mengambil masa, kerajaan boleh mengambil langkah awal, misalnya membuat panggilan terbuka untuk calon dan mempertimbangkan pandangan pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.

Memetik sumber, Bloomberg melaporkan Jumaat lepas bahawa Azam akan diberi lanjutan memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM selama enam bulan lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.