Kerajaan kaji semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kata PM

Kerajaan kaji semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kata PM

Anwar Ibrahim berkata semakan menyeluruh itu dibuat selari semangat reformasi serta memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata kajian semula itu babitkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan NGO.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan melaksanakan semakan semula kerangka Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009, susulan gesaan agar peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semakan menyeluruh itu dibuat selari dengan semangat reformasi institusi serta memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman.

“Tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani.

“Ia dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini ada cadangan supaya Akta SPK 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim.

Pada Februari lalu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said menolak gesaan agar akta itu disemak semula, dengan mengatakan bahawa suruhanjaya itu sendiri belum mengemukakan sebarang cadangan pindaan.

Jelasnya, pindaan akta itu turut memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata kerajaan mengambil maklum tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan ke atas kesahan perlembagaan Akta SPK.

Menurutnya, Putrajaya menghormati hak mana-mana individu untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan tafsiran mahkamah terhadap perlembagaan, namun kerajaan akan mempertahankan keabsahannya d mahkamah.

“Pada masa sama saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama
dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan NGO.

“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan perlembagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.