JPJ sita Lamborghini Aventador dipandu warga China tanpa lesen

JPJ sita Lamborghini Aventador dipandu warga China tanpa lesen

Pencipta kandungan media sosial itu dilaporkan memandu kereta mewahnya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanita.

aventador polis jpj
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata kereta dipandu lelaki itu antara 27 kenderaan disita dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebuah Lamborghini Aventador dipandu warga China tanpa lesen dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar, di sini, semalam.

Lelaki 28 tahun itu yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial, dilaporkan memandu kereta mewah miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanita, selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam, berkata kereta dipandu lelaki itu antara 27 kenderaan disita dalam operasi berkenaan.

“Kami memeriksa 1,627 kenderaan dan daripada jumlah tersebut, 211 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan. Kami turut menyita 24 motosikal, dua kenderaan barangan dan sebuah kereta.

“Kami mengeluarkan 463 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi bermula 8 malam semalam.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi, antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Pada masa sama, JSPT memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman, manakala Jabatan Imigresen memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki serta dua wanita warga Indonesia.

“AADK pula menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 37 individu dan menahan dua lelaki serta seorang wanita kerana positif ganja.”

Sebelum ini, Hamidi berkata, JPJ WPKL mengeluarkan 4,559 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 selama 14 hari bermula 24 Mac hingga semalam.

“Sebanyak 15,490 kenderaan diperiksa di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara, termasuk Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Bersepadu Gombak, lebuh raya serta jalan utama.

“Hasil pemeriksaan mendapati 1,729 kenderaan diambil tindakan, manakala 24 kenderaan turut disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).”

Beliau berkata, operasi itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya, khasnya semasa musim perayaan serta mengurangkan kadar kemalangan melalui penguatkuasaan dan advokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.