Disyaki jual gambar bogel RM2 guna AI, remaja 16 tahun ditahan

Disyaki jual gambar bogel RM2 guna AI, remaja 16 tahun ditahan

Suspek jual gambar tidak senonoh disunting itu dengan eksploitasi gambar perempuan diambil daripada akaun media sosial.

m kumar
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata suspek direman sehingga 12 April susulan lapan repot melibatkan suspek sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki menyunting dan menjual gambar lucah di media sosial.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata tangkapan dibuat pada 5 petang semalam di kawasan Kulai selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa perempuan mengadu gambar lucah itu yang telah disunting menggunakan mukanya tular di media sosial.

Menurutnya, mangsa berusia 18 tahun itu juga mendapati gambar lucah tersebut cuba dijual kepada orang ramai secara dalam talian.

“Sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan bagi tujuan sunting dan memuat naik gambar bogel mangsa-mangsa di laman sosial untuk dijual dengan harga RM2 bagi sekeping gambar, turut dirampas.

“Soal siasat awam mendapati suspek telah menyunting gambar mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosialnya dengan menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek direman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 12 April.

Dalam pada itu, Kumar berkata pihaknya telah menerima lapan laporan polis daripada mangsa lain melibatkan suspek sama, dengan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu yang menjadi mangsa dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihat tidak menyebarkan gambar mangsa di media sosial dan membuat sebarang spekulasi yang akan mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran orang awam,“ katanya.

Terdahulu, dilaporkan gambar pelajar dan alumni sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor telah disunting secara tidak senonoh dan disebarkan di beberapa platform dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.