Tinjauan: Hanya 14% rakyat rasa kerajaan ambil berat berkait kebajikan

Tinjauan: Hanya 14% rakyat rasa kerajaan ambil berat berkait kebajikan

Menurut Tinjauan Risiko Dunia Yayasan Daftar Lloyd (LRF), kira-kira 40% rakyat Malaysia pula merasakan jiran mereka sangat mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

public
Malaysia berada di tempat ketujuh daripada sembilan negara Asean dalam Tinjauan Risiko Dunia berkait maklum balas usaha mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.
PETALING JAYA:
Hanya 14% orang dewasa di Malaysia merasakan kerajaan sangat mengambil berat tentang kebajikan mereka, menurut satu tinjauan antarabangsa yang meletakkan negara ini dalam kelompok bawahan berbanding negara jiran Asean lain.

Malaysia berada di tempat ketujuh daripada sembilan negara ASEAN dalam Tinjauan Risiko Dunia Yayasan Daftar Lloyd (LRF) yang dilakukan setiap dua tahun.

Filipina berada di tempat pertama dengan 34% diikuti Indonesia (33%), Singapura (32%), Kemboja (30%), Laos (23%), Thailand (16%) manakala Vietnam di tempat kelapan dengan 13%.

Di Myanmar, hanya 7% rakyatnya merasakan kerajaan sangat mengambil berat terhadap mereka.

Namun begitu, menurut tinjauan itu, kira-kira 40% rakyat Malaysia merasakan jiran mereka sangat mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

Malaysia berada di tempat kedua selepas Indonesia, yang mencatatkan peratusan sebanyak 51%, manakala Filipina berada di tempat ketiga dengan 35%.

Singapura mencatatkan peratusan paling rendah, iaitu hanya 13% rakyatnya percaya bahawa jiran mereka sangat mengambil berat tentang kebajikan mereka.

Benedict Vigers, perunding penyelidikan di firma analitik global Gallup berkata analisis terhadap tinjauan itu menunjukkan bahawa jutaan orang dewasa di seluruh dunia merasakan jiran dan kerajaan mereka langsung tidak mengambil berat tentang mereka atau kebajikan mereka.

“Pada masa yang sama, ramai lagi memang merasakan mereka dihargai dan mereka lebih cenderung untuk mempercayai bahawa jiran mereka mengambil berat berbanding kerajaan,” katanya.

Keputusan terbaharu ini berdasarkan temu bual dengan 1,000 warganegara berumur 15 tahun ke atas dari setiap negara.

LRF ialah sebuah badan amal global bebas yang mempromosikan keselamatan dan pendidikan.

Sementara itu, Tinjauan Risiko Dunia adalah satu-satunya kajian global tentang kebimbangan terhadap risiko dan bahaya terhadap keselamatan manusia.

Tinjauan ini berdasarkan hampir 147,000 temu bual dijalankan oleh Gallup di 142 negara dan wilayah sepanjang tahun 2023, termasuk kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada data rasmi mengenai keselamatan dan risiko.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.