
NGO itu menggesa kerajaan mengambil langkah konkrit memansuhkan hukuman mati sepenuhnya bagi memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
“Hukuman mati masih dijatuhkan, dengan 38% hukuman mati yang baru dijatuhkan Mahkamah Tinggi bagi kesalahan berkaitan dadah.
“Ini menimbulkan kebimbangan serius berhubung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan pematuhan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” kata Vilasini Vijandran, pengarah eksekutif interimnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesalahan berkaitan dadah tidak memenuhi ambang “jenayah paling serius” untuk hukuman mati dikenakan di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, walaupun semua hukuman mati baru-baru ini dijatuhkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Persekutuan hanya mengekalkan 43 hukuman yang tidak membabitkan kesalahan dadah.
Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori pada Julai 2023 melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Pembaharuan ini menghapuskan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan, termasuk pembunuhan dan keganasan, membolehkan hakim menggunakan budi bicara mereka untuk menjatuhkan hukuman alternatif seperti penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.
Undang-undang itu turut menghapuskan hukuman mati mandatori bagi penyeludupan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, walaupun ia masih menjadi pilihan atas budi bicara kehakiman.
Susulan pembaharuan ini, data dari Parlimen menunjukkan populasi hukuman mati di Malaysia berkurangan hampir 90%, dengan banyak hukuman ditukar kepada penjara jangka panjang.
Vilasini berkata, pemansuhan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah akan menjadi duluan kuat di rantau ini, khasnya dengan Malaysia kini menjadi pengerusi Asean.
“Ia juga akan mengukuhkan kemampuan Malaysia menyokong rakyatnya yang berdepan hukuman mati di luar negara, apabila komitmen dasar luarnya disokong pembaharuan nyata dan berkekalan dalam negara.”