Rayuan akhir Pannir Selvam tangguh hukuman mati ditolak

Rayuan akhir Pannir Selvam tangguh hukuman mati ditolak

Wakil Amnesty International Malaysia berkata, hukuman mati terhadap rakyat Malaysia itu di Singapura berpotensi diteruskan esok.

Pannir Selvam Pranthaman
P Pannir Selvam, 36, disabitkan kesalahan di Singapura atas tuduhan mengedar 51.84g diamorfin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 2014. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Rayuan terakhir penangguhan pelaksanaan hukuman mati ke atas banduan akhir rakyat Malaysia P Pannir Selvam di Singapura telah ditolak, kata wakil Amnesty International Malaysia Qistina Johari.

“Kami baru sahaja dimaklumkan (sebentar tadi) bahawa rayuan (Pannir Selvam) untuk penangguhan telah ditolak. Ini bermakna, hukuman mati berpotensi diteruskan esok,” katanya kepada FMT di luar pekarangan Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini malam ini.

Hampir 100 penyokong dan aktivis hak asasi sebelum ini berhimpun di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura memohon belas kasihan bagi pihak Pannir Selvam, sambil menggesa Singapura agar menghentikan pelaksanaan hukuman mati tersebut.

Pannir Selvam, 36, disabitkan kesalahan di Singapura atas tuduhan mengedar 51.84g diamorfin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 2014.

Terdahulu hari ini, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa peguam Pannir, Too Xing Ji, semalam mengemukakan permohonan agar hukuman mati ditangguhkan.

Alasan yang dikemukakan adalah Jabatan Peguam Negara mungkin perlu menimbang semula pemberian Sijil Bantuan Substantif kepada Pannir Selvam, mengambil kira dia menyalurkan maklumat kepada polis Malaysia berhubung rangkaian pengedaran dadah yang aktif merentasi sempadan Singapura-Johor.

Qistina berkata, Amnesty International Malaysia secara konsisten menganjurkan himpunan aman membantah hukuman mati dan menggesa kerajaan Malaysia dan Singapura agar menilai semula pendirian masing-masing.

“Kami sering adakan perhimpunan seumpama ini, malah seminggu lepas (diadakan) untuk K Datchinamurthy,” katanya.

“Tujuan kami adalah untuk memberi tekanan kepada kerajaan Singapura di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia bahawa hukuman mati bukanlah jalan penyelesaian.”

Qistina berkata, walaupun Pannir Selvam bekerjasama dalam siasatan, dia tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif yang mungkin dapat mengecualikannya daripada hukuman mati.

Katanya, kes Pannir Selvam mencerminkan kebimbangan yang lebih meluas berhubung pelaksanaan hukuman mati di Singapura.

“Kes beliau menjadi lambang isu-isu hak asasi manusia yang lebih luas,” katanya.

“Kaedah pelaksanaan hukuman mati oleh Singapura – bukan sahaja ke atas rakyat Malaysia, tetapi juga yang lain – tidak berperikemanusiaan dan tidak menghiraukan maruah mereka yang terlibat.

“Seruan kami kepada kerajaan Singapura adalah untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir Selvam dan melaksanakan moratorium bagi semua banduan akhir, tanpa mengira kerakyatan.”

Peguam Pannir Selvam, N Surendran, yang turut berucap pada himpunan tersebut, mengecam dasar hukuman mati Singapura, menyifatkannya sebagai tindakan yang kejam dan tidak efektif.

“Hukuman mati ini tidak mencapai apa-apa tujuan. Ia tidak menghentikan perdagangan dadah kerana hanya keldai dadah yang dihukum manakala dalang utama bebas.

“Ia amalan kejam dan tidak perlu yang langsung tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.