
Hakim Mahkamah Tinggi Klang Norazlin Othman menjatuhkan hukuman selepas Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengekalkan pengakuan bersalahnya, lapor Bernama.
Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Dalam penghakimannya, Norazlin berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tanpa syarat dan mengakui fakta kes serta ekshibit yang dikemukakan pihak pendakwaan kepadanya adalah benar.
Beliau berkata, memandangkan perbuatan itu menjurus kepada jenayah yang dirancang, hukuman berat harus dijatuhkan, berbanding jenayah bersifat spontan.
Tambahnya, perbuatan kejam itu bukan sahaja mengorbankan Nur Anisah, malah anak dalam kandungannya.
“Dalam kes ini, hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kesan bakar yang meliputi hampir seluruh tubuh,” katanya.
”Lebih sadis lagi, di bahagian perut terdapat usus dan kandungan yang terkeluar … si mati juga mengalami kesan-kesan luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan.
“Tertuduh juga dikatakan memukul kepala si mati menggunakan kayu sehingga jatuh serta mengheretnya ke tepi parit dan mengambil pisau di kereta lantas menikam perut dan menghiris leher si mati.”
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli mengemukakan 112 ekshibit kepada mahkamah, termasuk imej ultrabunyi kandungan, pisau, sebatang kayu serta pakaian mangsa, sambil menegaskan cara mangsa dibunuh terlalu kejam.
“Tertuduh mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah itu dan kesalahan ini melibatkan faktor kepentingan awam dan perlu menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Peguam Muhammad Nor Tamrin dalam mitigasi pula berkata, anak guamnya telah dijadikan sebagai kambing hitam susulan laporan DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa janin berusia 18 minggu itu bukan milik Fakrul Aiman.
Katanya, tertuduh turut berdepan tekanan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa yang menggugut tertuduh untuk bertanggungjawab ke atas kandungan tersebut.
Beliau memberitahu mahkamah, tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun disiplin, serta menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang.
Justeru, beliau memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh sebelum perbicaraan bermula.