‘Rasa macam nak bunuh orang’, antara bual WhatsApp waris Zayn Rayyan

‘Rasa macam nak bunuh orang’, antara bual WhatsApp waris Zayn Rayyan

Saksi yang juga juruanalisis komputer makmal forensik berkata terdapat juga perbualan 'lantaklah nak hidup ke nak mati' dan 'letih gila aku mencari'.

Ismanira Abdul Manaf dan suami Zaim Ikhwan Zahari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan abaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
‘Rasa mcm nak bunuh orang je’ dan ‘belasah je sampai puas’, antara petikan WhatsApp dibaca saksi, yang diekstrak daripada telefon ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik, Mohd Zaidi Abu Hassan, ketika memberitahu Mahkamah Sesyen berkata, ada juga perbualan seperti ‘aku nak rehat pun tak leh’.

Beliau berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autism itu, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Ismanira Abdul Manaf dan suami, Zaim Ikhwan Zahari masing-masing berusia 30 tahun.

Semasa prosiding, Zaidi berkata, mesej perbualan berkenaan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp antara dua nombor, pada 20 Jun 2023.

Pada hari kejadian kehilangan Zayn Rayyan, 5 Dis 2023 pula, saksi pendakwaan ke-25, berkata, ada perbualan antaranya ‘Zayn hilang’, ‘dia lari’, ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’, dan ‘letih gila aku mencari’.

“Ada juga ayat ‘geram betullah’ yang mana semuanya dibuat antara 12.20 hingga 12.59 tengah hari, 5 Dis 2023.

“Ia diperoleh hasil pemeriksaan dan analisis ke atas telefon Huawei yang mana perbualan itu melibatkan tarikh 20 Jun, 11 Okt, 20 Okt, 1 Dis dan 5 Dis tahun sama,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, mesej itu diperoleh daripada telefon bimbit dirampas yang mana salah satunya di ‘iCloud’, didaftarkan atas nama Ismanira, sementara Huawei menggunakan akaun ‘Google’, atas nama Zaim Ikhwan.

Saksi ini berkata, perbualan atas nama ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ itu diekstrak daripada dua telefon bimbit tersebut serta dua kad sim yang diserahkan pegawai penyiasat kes.

Dalam prosiding sama, Zaidi membacakan pernyataan saksi berkata, pegawai penyiasat memintanya mengeluarkan video, mesej, dan gambar dipadam dari telefon bimbit terbabit.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi sementara peguam, Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada 13 Jun 2024, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Dis 2023 hingga keesokkannya, 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada 10 malam.

Mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200m dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.