KPKT senarai hitam 109 pemaju hartanah tak patuh peraturan

KPKT senarai hitam 109 pemaju hartanah tak patuh peraturan

Tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian usaha berterusan melindungi kepentingan pembeli rumah.

FMT rumah untuk di jual
Antara kesalahan dilakukan pemaju adalah kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenaraihitamkan 109 pemaju hartanah kerana gagal mematuhi peraturan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata, tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian usaha berterusan pihaknya melindungi kepentingan pembeli rumah.

“Tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju ini memberi mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan. Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak.

“Keselamatan pembeli rumah kekal sebagai antara keutamaan kementerian. Pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan projek perumahan mampu milik ke-14.

Nga berkata, antara kesalahan dilakukan pemaju tersebut adalah kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan dan kegagalan mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, pemaju yang disenarai hitam tidak layak memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda tertunggak.

Beliau turut menasihatkan pembeli rumah menyemak terlebih dahulu status lesen pemaju di laman web rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/ sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi membeli hartanah.

“Kami komited untuk menegakkan pematuhan peraturan bagi melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pasaran perumahan yang adil dan telus untuk semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.