31 warga TDM buli, dera anggota bawahan ditamat perkhidmatan

31 warga TDM buli, dera anggota bawahan ditamat perkhidmatan

Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata mereka terdiri daripada pelbagai pangkat, termasuk mejar.

Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihak tidak akan berkompromi dengan tindakan mendera dan membuli anggota bawahan yang merupakan pengkhianatan kepada pasukan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 12 pegawai dan 29 anggota Tentera Darat (TDM) ditamatkan perkhidmatan sejak 2019 hingga tahun lalu akibat terbabit kes buli serta penderaan anggota bawahan.

Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata mereka terdiri daripada pelbagai pangkat, termasuk mejar.

Katanya, tindakan drastik itu membuktikan pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota melakukan pelbagai kesalahan, termasuk penderaan dan buli.

“Saya sentiasa menegaskan perbuatan mendera dan membuli adalah pengkhianatan kepada pasukan dan kita tidak akan berkompromi langsung.

“Perbuatan ini bukanlah tradisi dalam Tentera Darat, sebaliknya kadangkala ada kes terpencil membabitkan perseorangan dengan mendera anggota bawahan,” katanya menurut Berita Harian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Op Merpati 8 Briged di Pos Tok’O, Rantau Panjang.

Terdahulu, TDM mengesahkan wujud unsur “manhandling” (kekerasan) dalam kematian anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sri Miri di Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri.

Susulan itu, dua anggota prebet berusia 22 dan 24 tahun dari kem sama ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Hafizuddeain berkata, TDM sentiasa mengingatkan pegawai dan anggota mengelakkan kejadian buli dan dera berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.