Terperangkap dalam pembetung resort, 3 pekerja maut

Terperangkap dalam pembetung resort, 3 pekerja maut

Dua mangsa maut di lokasi manakala seorang di hospital.

Tiga pekerja termasuk seorang warga Indonesia maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort dalam pembinaan. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki maut dipercayai terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Lenggong, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata dua warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara warga Indonesia meninggal dunia di hospital.

Katanya, insiden berlaku ketika tiga mangsa sedang melakukan kerja pembersihan bersama empat rakan mereka yang terselamat, di mana semua mangsa terperangkap dalam lubang pembetung itu.

“Maklumat diterima mengatakan terdapat seramai tujuh mangsa terperangkap dalam lubang pembetung ketika melakukan kerja pembersihan di resort sedang dibina itu.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, bomba dimaklumkan lima daripada tujuh terperangkap dibawa keluar orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.

“Dua mangsa terakhir dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menurut Berita Harian.

Sabarodzi berkata, lubang pembetung dianggarkan bersaiz 5.2m panjang, 4.1m lebar dan berkedalaman 2.4m.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba Lenggong digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima 10.08 pagi.

Beliau berkata, tindakan operasi termasuk dengan melaksanakan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap terhadap anggota beserta alat pernafasan untuk turun ke dalam lubang pembetung berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik, sementara yang cedera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.