
Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS.
“Jika tarif 24% itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5-5.5% perlu disemak semula.
“Namun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” katanya menurut Bernama.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata asas makroekonomi negara masih kekal kukuh.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan meneliti sokongan sektor dijangka terjejas teruk, sambil menyifatkan tarif AS mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar.
Katanya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport AS, pada minggu depan.
Beliau berkata, Menteri Tengku Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi Asean untuk menyediakan tindakan yang diselaraskan.
“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor yang dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif,” kata Anwar menurut Bernama menerusi hantaran video menyentuh tarif AS.
Anwar berkata, semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara.
“Kerajaan Madani juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian kita – seperti yang digariskan oleh pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan lain-lain untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia,” kata beliau.
Iltizam suara Asean ke pentas global
Beliau berkata di peringkat serantau, Malaysia sebagai pengerusi Asean akan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara jiran lain.
“Negara-negara Asean adalah antara negara dikenakan tarif tertinggi oleh AS. Malaysia, sebagai pengerusi Asean, akan memimpin usaha bagi mengekalkan rantaian bekalan yang terbuka dan berdaya tahan, dan memastikan suara kolektif Asean didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.
“Kita perlu sedar bahawa tarif kali ini mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar dalam (landskap) ekonomi luar. Kita semua perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan potensi cabaran lebih getir pada masa akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menjaga kemakmuran kita yang berterusan,” kata perdana menteri.
Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha menangani dan mengurangkan impak daripada tarif tersebut.
“Kita akan melakukan ini, bukan bersendirian dan bukan secara konfrontasi, tetapi dengan kerjasama sahabat dan rakan-rakan, dan secara membina.
“Yakinlah, kerajaan Madani akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat kita, perniagaan dan pengeksport kita,” kata Anwar.