Aksi ‘wheelie’ potong kereta, 2 penunggang maut

Aksi ‘wheelie’ potong kereta, 2 penunggang maut

Remaja 17 tahun angkat tayar hadapan, namun masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar seorang lagi penunggang.

kemalangan motor
Polis berkata mangsa melakukan aksi bahaya mengangkat tayar hadapan dan disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Tindakan penunggang melakukan ‘wheelie’ bukan sahaja meragut nyawa sendiri, malah mengakibatkan seorang lagi maut apabila motosikal mereka bertembung, dalam kejadian di Jalan Kutan, Tumpat, semalam.

Ketua Polis Tumpat Mohd Khairi Shafie, berkata nahas kira-kira 12.15 tengah malam itu melibatkan motosikal dinaiki remaja berusia 17 tahun bersama pemboncengnya, berusia 16 tahun dengan seorang lagi penunggang, lelaki berusia 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang remaja bersama pemboncengnya dari arah Pasir Pekan ke Pasir Mas itu melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan, sambil memotong sebuah kereta sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggang lelaki berusia 53 tahun terbabit.

“Akibatnya kedua-dua penunggang motosikal telah terjatuh di lokasi kemalangan dan cedera parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, mayat kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat manakala pembonceng yang cedera parah pada kaki dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.