Pengurus syarikat rugi RM700,000 terpedaya skim pelaburan tak wujud

Pengurus syarikat rugi RM700,000 terpedaya skim pelaburan tak wujud

Wanita berusia 47 tahun itu memuat turun satu aplikasi pelaburan dengan pautan diberikan suspek di WhatsApp pada Julai tahun lalu.

Mangsa dimaklumkan mengenai keuntungan diperoleh melalui aplikasi terbabit tetapi tidak dibenarkan membuat pengeluaran, kata polis. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang pengurus syarikat terpaksa berputih mata apabila kerugian RM703,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa seorang wanita berusia 47 tahun memuat turun satu aplikasi pelaburan dengan pautan diberikan suspek pada Julai tahun lalu.

Katanya, dia kemudiannya membuat pelaburan secara berperingkat dengan melakukan tujuh transaksi kepada empat akaun bank berbeza.

“Mangsa dimaklumkan mengenai keuntungan diperoleh melalui aplikasi itu, tetapi tidak dibenarkan membuat pengeluaran.

“Mangsa mula menyedari ditipu selepas diminta menambah modal pelaburan. Sumber kewangan digunakan mangsa adalah daripada simpanan dan pinjaman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.