SPRM nafi tak pernah cuba hubungi Chai

SPRM nafi tak pernah cuba hubungi Chai

Agensi antirasuah itu berkata, pegawai penyiasatnya sudah beberapa kali cuba hubungi bekas pegawai Rafizi Ramli itu, namun tiada respons.

logo sprm macc
SPRM berkata, pihaknya telah beberapa kali cuba menghubungi James Chai, yang kini bekerja di UK, sebelum notis carian awam dikeluarkan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bekas pembantu Rafizi Ramli, James Chai, bahawa pengeluaran notis carian awam oleh pihaknya ialah tindakan yang berlebihan.

Agensi antirasuah itu turut menyangkal dakwaan Chai bahawa SPRM tidak pernah cuba menghubunginya sebelum ini.

Sebaliknya, menurut SPRM, pegawai penyiasatnya telah beberapa kali cuba menghubungi Chai, yang kini bekerja di United Kingdom, sebelum notis itu dikeluarkan.

SPRM juga berkata, salah seorang pegawai penyiasatnya cuba menghubungi Chai melalui WhatsApp sejak 24 Feb menggunakan satu nombor telefon yang diketahui miliknya, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

“Selepas beberapa kali cuba menghubunginya tanpa sebarang respons, nombor pegawai penyiasat itu akhirnya disekat oleh nombor telefon Chai pada 26 Feb.

“Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubunginya sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah sama sekali tidak benar,” kata SPRM dalam kenyataan.

Terdahulu, Chai berkata notis tersebut yang menyertakan alamat rumah keluarga, iaitu tempat tinggal ibu bapanya, mendedahkan mereka kepada bahaya yang tidak sepatutnya. Perkara ini ‘tidak akan dimaafkannya sama sekali’, tegasnya.

Chai berkata, usaha pencarian awam itu seolah-olah berniat menggambarkan dirinya sebagai pelarian yang menyembunyikan sesuatu.

Bagaimanapun, SPRM membalas cubaan Chai untuk menggambarkan prosedur siasatan biasa sebagai satu tindakan penganiayaan adalah tidak wajar dan berniat jahat.

“Jika Chai tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, beliau harus tampil dan memberikan kerjasama dalam siasatan,” katanya.

SPRM turut menyatakan bahawa ia berpegang teguh kepada prinsip seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermakna orang tersebut bersalah atau telah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Rafizi semasa Ahli Parlimen Pandan itu menjadi menteri ekonomi. Beliau meninggalkan kementerian tersebut selepas Rafizi meletak jawatan pada Mei lalu.

Notis SPRM tidak menyatakan sebab Chai dipanggil, tetapi ia menyusuli siasatan baru-baru ini berhubung dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.