
Zulfan Iqbal Zaiful, pelajar tingkatan 4 dan bermain di posisi penjaga gol bagi Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, lemas pada 25 Nov tahun lalu, selepas menjalani proses pemulihan di kolam renang sekolah berkedalaman 5m.
“Semenjak dari hari kejadian sehingga hari ini pihak keluarga mangsa masih belum menerima maklum balas mengenai hasil siasatan kes kematian mangsa daripada pihak Kementerian Pendidikan mahupun polis,” kata Zaiful Ibrahim, bapa kepada si mati dalam kenyataan.
Zaiful, yang membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, juga berkata tiada seorang pun ahli keluarganya dipanggil polis untuk membantu siasatan.
Dalam repot polis, Zaiful mendakwa jurulatih bertugas duduk jauh dari tempat kejadian, dan didapati sedang ‘bermain telefon bimbit’ semasa kejadian.
Zaiful turut mendakwa, tiada penyelamat atau peralatan keselamatan tersedia jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di kolam berkenaan.
Menurut rakan pelatih, Zulfan berada di dasar kolam sekitar 15 hingga 20 minit sebelum ditarik ke atas dalam keadaan tidak sedarkan diri, selain keluar darah di mulut, hidung, dan telinga.
“Pihak keluarga amat berduka cita atas kejadian yang berlaku dan menyeru agar siasatan yang adil, telus, dan menyeluruh dilaksanakan oleh pihak kementerian serta polis,” kata Zaiful.
Zulfan, berada dalam radar JDT FC atas bakatnya sebagai penjaga gol adalah anak keempat daripada lima beradik.