
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pada masa sama langkah itu juga demi memastikan semua calon bertanding rasa lebih dihargai.
Katanya, tindakan itu menunjukkan strategi BN lebih pragmatik dan inklusif bagi berdepan pencabarnya dalam pilihan raya itu.
“Dengan tidak menamakan seorang ‘poster boy’, BN memberi tumpuan kepada kekuatan kolektif calon mereka.
“Hal ini bertujuan untuk mengelakkan perpecahan dalaman dan memastikan semua calon merasa dihargai dan diberi peluang yang sama,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, FMT memetik Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin sebagai berkata gabungan itu tidak mengutamakan siapa akan diangkat sebagai ‘poster boy’ untuk dipertaruhkan pada PRN kerana semua calon mempunyai kelayakan sebagai ketua menteri.
Bung berkata, fokus parti adalah memenangi seberapa banyak kerusi dipertandingkan bagi memastikan BN dominan dalam menerajui pentadbiran negeri termasuk dalam bekerjasama dengan gabungan lain.
Mengulas lanjut, Bilcher berkata kenyataan Bung itu mahu menunjukkan bahawa semua calon dipertaruhkan BN mempunyai kelayakan dan kualiti yang diperlukan.
“Ia juga mengurangkan risiko konflik dalaman yang mungkin timbul jika seorang calon diberi keutamaan,” katanya.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) setuju dengan kenyataan Bung bahawa BN perlu fokus memenangi kerusi berbanding menamakan ‘poster boy’.
Katanya, keputusan itu hanya boleh dibuat jika BN memenangi separuh daripada kerusi dipertandingkan.
“Politik Sabah agak ‘huru-hara’ dan kurang stabil ketika ini. Jika dah menang separuh kerusi baru senang nak namakan (poster boy) dan jika tidak dapat separuh, BN kena kerjasama dengan pihak ketiga, maknanya calon ketua menteri kena bincang selepas tu.
“Apa yang Bung kata betul, tak perlu fikir panjang sebaliknya kena menang dulu,” katanya.