
Mangsa berusia 59 tahun dipercayai terbabas dalam parit itu ketika menaiki motosikalnya dari arah Kuala Krai menghala ke rumahnya di Kampung Keroh, Kuala Krai.
Ketua Polis Kuala Krai Mazlan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarga berhubung kehilangan mangsa berusia 59 tahun pada 12.03 pagi, 1 April.
Beliau berkata, pada 30 Mac lalu sekitar 1 pagi, isteri mangsa mendapati suaminya keluar dari rumah untuk berjumpa rakannya di Kuala Krai.
“Walau bagaimanapun, pada 3 pagi hari yang sama isteri mangsa menyedari suaminya tidak pulang ke rumah dan cuba menghubunginya, namun suaminya itu tidak menjawab panggilan telefon.
“Kebiasaannya, setiap kali keluar rumah mangsa akan memaklumkan keberadaannya kepada isteri atau anak perempuannya, namun pada hari kejadian mangsa tidak dapat dikesan menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, kira-kira 2.55 petang tadi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai menerima panggilan dari Bilik Gerakan IPD Kuala Krai mengenai penemuan mayat seorang lelaki.
“Apabila tiba di lokasi, motosikal itu dipercayai terbabas ke dalam parit dan terdapat kesan tayar motosikal mangsa yang terbabas menuju ke arah parit.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan masih memakai topi keledar dan berada bersebelahan motosikalnya selain keadaan mayat juga yang mula mereput dan menampakkan tulang.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.